Thursday, October 23, 2014

Ulas buku : Hero.

Adiwira.

Selalunya watak adiwira biasa kita jumpa dalam filem atau komik. Jarang sangat dalam novel. Novel berbahasa melayu. Adiwira di sini dibincang dalam konteks seorang manusia yang punya kuasa luar biasa dan tugas utama dia untuk selamatkan bumi daripada kuasa jahat.

Walhal, perkataan adiwira itu sendiri punya definisi yang luas, tidak terhad pada definisi di atas. Dan yang paling utama, definisi adiwira itu bergantung pada perspektif masing-masing. 

Seorang bapa bekerjaya sebagai nelayan yang cekal menyara keluarga besarnya.
Dia adiwira bagi anak-anaknya.

Seorang guru yang sabar mencurahkan ilmu di dada.
Dia adiwira bagi pelajar-pelajarnya.

Pokoknya, hampir setiap daripada kita ada adiwira sanjungan masing-masing. Tapi bicara yang ini, definisi adiwira itu biarlah berlegar pada konteks seorang manusia yang punya kuasa luar biasa dan tugas utama dia untuk selamatkan bumi daripada kuasa jahat. 

Kredit
Hero. Tulisan saudara Hilal Asyraf.

Ini novel fiksyen Hilal Asyraf yang kedua pernah dibaca. Sebelum ini, Relasi. Selalu sangat menjenguk di ruangan fiksyen mana-mana kedai buku dan ternampak novel yang ini. Tapi hati tak pernah tergerak untuk membeli apatah lagi membaca.

Sebabnya, tajuk dia; Hero. Sinopsis dia apabila dibaca secara rambang, berkisar pada usaha seorang lelaki yang cuba untuk menyelamatkan negaranya daripada ancaman kuasa jahat. Rasa macam jalan ceritanya tipikal sangat.

Transformer, iron man, spiderman, batman. Tahu filem yang ini? Yang jalan ceritanya bertunjangkan seorang hero atau adiwira sebagai watak utama. Dan aku tidak pernah menunjukkan minat sama sekali pada filem-filem sebegini. Maaf katakan. Hey, setiap daripada kita ada minat dan kecenderungan masing-masing.

Beralih pada novel Hero ini. Selesai membaca, terasa macam ada sedikit kesal sebab tidak membacanya dari awal. Novel yang ini pun dibeli oleh adik, dibaca tempoh hari sewaktu ada kelapangan sementara menanti semester baru dibuka.

Berjaya habiskan bacaan kurang daripada sebulan. Diingatkan aku sendiri tergolong daripada mereka yang membaca dengan sangat lambat. Setiap perkataan perlu dihayati ,baru seronok membaca. Tempoh kurang daripada sebulan itu dikira cukup cepat, menandakan novel yang itu menarik.

Hero yang ini. Mengisahkan seorang pemuda yang bertindak sebagai pengaman atau adiwira yang tugasnya menjaga sebuah kotaraya Islam yang dibangunkan oleh sepuluh orang jutawan Islam. Kisah kotaraya Islam dan sepuluh jutawan Islam serius menarik dan unik. Terasa macam seronoknya kalau kotaraya sebegitu memang benar-benar wujud.

Masalah Hero yang ini, ialah masalah iman. Dia sibuk mengejar jejak-jejak penjenayah, mengamankan kotarayanya tapi lupa untuk mengamankan hati sendiri. Konflik novel ini banyak, tak membosankan dan memeningkan. 

Dendam, mencari pembunuh ayahnya, kisah sepuluh jutawan Islam yang dibunuh satu persatu dikejar pihak berkuasa yang korup, menjadi seteru pihak kafir yang tidak suka melihat Islam berdiri dan diangkat tinggi dalam kotaraya tersebut, rahsia disebalik teknologi sut yang digunakan hero dan banyak lagi.

Senang bicara, tak rugi kalau dibaca.

Relasi. Dan kali ini Hero. Mungkin akan cuba mencari tulisan fiksyen Hilal Asyraf yang lain.

Itu sahaja buat kali yang ini.





3 comments:

Nana Liena said...

kita suggest bc novel SInergi
karya beliau juga H.A
Cerita ttg 2 orang sahabat yg berhadapan dgn fitnah dll masa belajar di Jordan.
novel Takdir yg 1 & 2 kurang menyengat,sebab penggunaan ayat dia tak berapa okay. huhu

Hero blm pernah baca tp ya la saya lbh suka baca novel2 islamik..
ingatkan kita dalam diam.

suka bc cara olahan awak bt ulasan.. cool..

nfatin said...

@ nana liena yup. sinergi. ada jugak yang suggest kan, tapi tak berkesempatan lagi. satu hari nanti, InsyaAllah. =)

Dunia Zumal said...

Menarik kisahnya.. Zumal suka kisah fiksyen... Salam Maal Hijrah :)